Khamis, 7 Julai 2011

Kisah-Kisah Yang Menunjukkan Ketakwaan

Ajaran-ajaran mengenai taqwa yang terkandung didalam kitab suci Al-Quran dan Hadith tidak dapat dibentangkan secara keseluruhannya buat masa ini namun kepentingan taqwa sudah tentu tidak dapat diragui. Tanpa taqwa segala kejayaan batiniah sudah pasti tidak tercapai. Dalam sebuah hadith, Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud:


"Perasaan takutkan Allah s.w.t. merupakan sumber kebijaksaan."


Ibnu Umar sering menangis kerana takutkan Allah s.w.t. sehingga matanya buta. Katanya kepada seorang yang memerhatikannya:"Agaknya kamu hairan melihat aku menangis?Matahari pun menangis kerana takutkan Allah s.w.t..."


Pada suatu hari Nabi Muhammad s.a.w. telah mendengar seorang sahabat Baginda  s.a.w. yang sedang membaca Al-Quran. Apabila sampai keayat yang berbunyi:


 "Maka apabila langit terbelah dan menjadi merah seperti kulit yang merah"
(AL-RAHMAN-37)


Bulu roma si pembaca itu berdiri tegak dan dia menangis tersedu-sedu sambil bertanya:


"Aduh, apakah yang akan berlaku pada diriku apabila langit terbelah?Malang sungguh nasibku ini." 


Nabi Muhammad s.a.w. berkata kepadanya:


" Tangisanmu telah menyebabkan para malaikat menangis bersama-sama."


Jawapan yang sama telah diberikan oleh Nabi Muhammad s.a.wkepada seorang Ansar yang duduk menangis selepas menunaikan sembahyang Tahajjudnya.


 Abdullah bin Rawahah telah menangis pada suatu hari. Isterinya melihat keadaannya turut menangis bersama-sama, dia bertanya kepada isterinya itu:


"Mengapa kamu menangis?


"Kata Abdullah:


"Apabila aku teringat yang aku terpaksa menyeberangi neraka melalui Titian sirat, aku menangis."Aku tidak tahu sama ada aku akan berjaya menyeberanginya atau tidak."


Pada suatu ketika Zurarah bin Aun sedang bersembahyang dimasjid. Apabila ia membaca ayat yang bermaksud:


"Maka apabila ditiup sangkakala,maka yang demikian dihari itu,hari yang payah" 


(Al-Maudasir-8-9) 


Zurarah bin Aun jatuh dan meninggal dunia!!!
Dalam salah satu sembahyangnya, Khulaid dalam qiraatnya telah membaca ayat yang bermaksud: 


"Tiap-tiap jiwa akan merasai mati"
(Al-A'nkabut)
 
Dia telah mengulangi ayat itu beberapa kali sehinggakn tiba-tiba dia terdengar suara orang yang mengatakan kepadanya:


"Berapakali mesti kamu ulangi ayat itu?Bacaan mu telah menyebabkan kematian empat jin!!!"


Dengarlah kata Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat Baginda s.a.w. mengenai perasaan takut akan Allah s.w.t..


Nabi Muhammad s.a.w.:


"Segala-galanya  takut akan orang yang takutkan Allah s.w.t. Sebaliknya segala-galanya menjadi sumber ketakutan kepada orang yang takutkan sesuatu selain dari Allah s.w.t.."


Yahya bin Ma'az:"Seandainya seorang manusia itu takutkan neraka sebanyak ia tukutkan kemiskinan, ia akan memasuki syurga."


Abu Sulaiman Darani:"Kecelakaan bagi jiwa yang kosong dengan perasaan takut kepada Allah s.w.t.."


Nabi Mubammad s.a.w.:"Wajah yang dibasahi oleh air mata kerana takutkan Allah s.w.t.., walau bagaimana sedikit pun air mata itu, terselamat dari api neraka."


Nabi Mubammad s.a.w.:"Apabila seorang muslim mengeletar kerana takutkan Allah s.w.t., gugurlah dosa-dosanya seperti daun-daun yang kering berguguran."


Aqbah bin Amir berkata kepada Nabi Mubammad s.a.w.:"Tunjukkan daku jalan kearah keselamatan." 


Jawab Nabi Muhammad s.a.w.:"Jangan banyak bercakap dan tinggallah dirumah sambil menangis mengenangkan dosa-dosamu."


Aishah r.a.hu telah bertanya kepada Nabi Muhammad s.a.w.:"Adakah diantara pengikut-pengikutmu yang akan memasuki syurga tanpa perhitungan?"


Nabi Muhammad s.a.w. menjawab:"Ya, dia ialah orang yang banyak menangis menyesali segla dosa-dosanya yang telah ia lakukan."


Nabi Muhammad s.a.w.:


"Ada dua jenis titisan yang sangat-sangat dihargai Allah s.w.t..Titisan air mata kerana takutkanNya dan titisan darah yang ditumpahkan kerana berjuang dijalanNya."
Mengikut sebuah Hadith ada tujuh jenis manusia yang dapat melindungi diri dibawah naungan A'rash. Salah seorang daripada mereka ini ialah orang yang menangis apabila berseorangan kerana takutkan Allah s.w.t. dan kerana menyesali dosa-dosa yang telah lampau.


Umar r.a. hu berkata:"Kalau pada Hari Perhitungan diistiharkan yang semua manusia kecuali seorang sahaja akan memasuki neraka, sudah tentu dosa-dosaku akan menyebabkan aku menyangka yang simalang itu ialah aku sendiri. Sebalinya kalau diisteharkan yang semua manusia kecuali seorang sahaja akan memasuki syurga, sudah tentu aku akan berharap yang orang yang menjadi pilihan Allah s.w.t. itu adalah aku sendiri."


Kisah Umar r.a.hu itu tadi menunjukkan betapa perlunya perasaan takut bercampur dengan harapan ini terselit dihati umat Islam yang inginkan kebahagiaan ukhrawi Bila menghadapi maut pula harapan akan rahmat Allah s.w.t. sepatutnya melebihi perasaan takut tadi.


Kata Nabi Muhammad s.a.w.: 


"Tidak seorang pun sepatutnya mati tanpa harapan yang kuat akan rahmat Allah s.w.t.."


Apabila Imam Ahmad bin Hambal sedang menghadapi maut, dia menggesakan anaknya supaya membaca hadith-hadith Nabi Muhammad s.a.w.. matan-matannya menekankan tentang perlunya ada harapan akan rahmat Allah s.w.t.."



Takutnya Nifak Yang Ditunjukkan Oleh Hanzalah R.A



"Kami berhadapan dengan Nabi Muhammad s.a.w.. apabila Baginda s.a.w. berkhutbah pada suatu hari. Kutbah Baginda s.a.w, menakutkan hati kami. Kami mencucuri airmata mengenangkan keadaan kami pada masa itu, kemudian saya pun kembali kerumah menemui anak dan isteri saya. Ditengah-tengah kesibukan kami sekeluarga, kesan kuthbah yang disampaikan oleh Nabi Muhammad s.a.w. sebentar tadi semakin hilang. Saya menyedari yang keadaan saya telah berubah. Kalau tadi saya berdukacita kini saya berasa gembira.Tiba-tiba saya berkata didalam hati saya:
"Oh Hanzlah, engkau ini seorang munafik."
Perasaan hiba yang menyelubungi fikiran saya yang tidak dapat dibayangkan. Saya meninggalkan rumah saya sambil berkata:
"Hanzlah telah menjadi seorang munfik."
Apabila saya menemui Abu Bakar saya meneruskan kata-kata saya tadi.
Katanya:
"Subhanallah! Apa yang kamu katakan ini. Hanzlah tidak mungkin menjadi seorang munafik."
Saya menceritakan segala-galanya kepadanya. Kata saya:
"Semasa kita mendengar kutbah Nabi Muhammad s.a.w. tadi terasa oleh kita bahawa syurga dan neraka seolah-olah berada dihadapan kita, tetapi apabila balik bertemu dengan keluarga kita dirumah, kita melupakan kampung akhirat."
Kata Abu Bakar:
"Ya, keadaan aku pun demikian juga."
Kemudian kami bersama-sama menuju ketempat kediaman Nabi Muhammad s.a.w.
Kata saya kepada Nabi Muhammad s.a.w.:
"Ya Rasulullah, saya telah menjadi munafik."
Setelah mendengar penjelasan saya, Nabi Muhammad s.a.w bersabda:
"Demi Allah , yang jiwaku ditanganNya, seandainya kamu dapat memeliharakan selama-lamanya keghairahan yang diwujudkan dalam sanubari kamu semasa berada disisiku, sudah tentu para malaikat akan mengucap selamat kepadamu semasa kamu berjalan dan semasa kamu tidur, tetapi wahai Hanzlah, ini adalah satu perkara yang jarang-jarang berlaku."

 Menurut pendapat  Nabi Muhammad s.a.w. walau bagaimanapun teguhnya keimanan seseorang, dia tidak dapat menumpukan segala tenaganya terhadap urusan 'Ukhrawinya' semata-mata kerana sebagai seorang manusia dia terpaksa bertanggung jawab terhadap urusan-urusan'Duniawi' yang lain. Walaupun ada manusia yang boleh berbuat demikian sudah tentu bilangan mereka itu terlalu kecil. Namun demikian, kita hendaklah memupukkan perasaan yang akan membolehkan kita sentiasa mencurigai tentang keteguhan iman kita sepertimana yang telah dipertunjukkan oleh sahabat Hanzlah.


Rasulullah S.A.W Memarahi Sahabat Sahabat Yang Ketawa

Pada suatu ketika apabila Nabi Muhammad s.a.w. sampai kemasjid untuk mendirikan solat, Baginda s.a.w. dapati beberapa orang sahabat sedang gelak ketawa. Baginda s.a.w. berkata: 

"Kalau kamu selalu mengingati maut sudah tentu aku tidak mendapati kamu semua dalam keadaan demikian. Pada setiap masa kamu hidup kamu mesti mengingati maut. Setiap waktu tanah perkuburan memekik mengatakan:' Aku ini merupakan semak samun. Aku dipenuhi dengan debu. Aku ini penuh dengan serangga.
Apabila seorang mukmin dikebumikan didalamnya, bumi berkata 'Aku ucapkan selamat datang kepada mu. Diantara manusia yang bertebaran atas muka bumi ini, engkaulah yang paling aku sukai. Baik sungguh hatimu kerana mahu memasuki ku. Sekarang lihatlah bagaimana aku menghiburkan hatimu?'
Kemudian bumi membesar sejauh mata memandang. Sebuah pintu syurga terbuka dihadapannya. Melalui pintu inilah bau-bauan yang semarak harumnya menyusupi lubang hidungnya.
Tetapi apabila seorang yang jahat dimasukkan kedalamnya, bumi akan berkata:'Tidak ada kata alu-aluan buatmu. Diantara manusia yang hidup didunia, engkaulah yang paling aku benci. Sekarang lihatlah layanan aku terhadapmu.'
Kemudian ia dihimpit oleh bumi sehingga tulang-tulang rusuknya saling bertikam tikaman dan berselisih antara satu sama lain. Sebanyak tujuh puluh ekor ular akan mematuknya sehingga hari kiamat.Ular-ular ini terlalu berbisa hinggakan kalau seekor sahaja menyemburkan bisanya dipermukaan bumi maka sehelai rumput pun tidak akan tumbuh.”

Kemudian Nabi Muhammad s.a.w berkata:


"Kubur boleh merupakan syurga ataupun neraka."

Sifat takut kepada Allah s.w.t. pasti terdapat pada manusia yang benar-benar beriman. Sifat takut ini dapat diwujudkan dan dipupuk  sehingga ia tumbuh dengan suburnya kalau kita dalam kehidupan kita sehari-hari dapat mengingati akan MATI.

Tiga Orang Mukmin Yang Tidak Menyertai Rasulullah Ke Tabuk

Diantara puak munafikin jumlah yang tidak menyertai gerakan ke Tabuk boleh dikatakan banyak juga. Bukan sahaja mereka gagal menyahut seruan Nabi Muhammad s.a.w. malah mereka cuba mempengaruhi orang-orang lain supaya berbuat demikian.
Kata mereka:


"Janganlah berpergian dalam keadaan panas" 

Allah s.w.t. menjawab:
Orang-orang (munafik) yang ditinggalkan (tidak turut berperang) itu, bersukacita disebabkan mereka tinggal di belakang Rasulullah (di Madinah) dan mereka (sememangnya) tidak suka berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah (dengan sebab kufurnya), dan mereka pula (menghasut dengan) berkata: "Janganlah kamu keluar beramai-ramai (untuk berperang) pada musim panas ini". Katakanlah (wahai Muhammad): "Api neraka Jahannam lebih panas membakar", kalaulah mereka itu orang-orang yang memahami.
(At Taubah- 81)

Diantara orang-orang yang beriman pula seperti mana yang telah dikatakan tadi, hanya tiga orang sahaja yang tidak menyertai tentera Muslimin. Mereka ini ialah Murarak bin Rabi, Hilal bin Umayyah dan Ka'ab bin Malik.
Murarah tidak bersama-sama Nabi Muhammad s.a.w. dan sahabatnya kerana buah-buah tamar dikebunnya telah masak dan terpaksa dikutip. Dia menyangka yang penyertaannya dalam lain-lain peperangan terdahulu daripada ini dapat melepaskan dirinya daripada peperangan yang sedang dihadapi. Disini dia telah melakukan kesalahan mementingkan hartanya daripada Allah s.w.t.. Apabila dia menyedari kesalahannya dia mendermakan kebunnya kepada orang. 

Akan Hilal pula dia sibuk mendampingi kaum keluarganya yang pulang ke Madinah selepas meninggalkan kota itu beberapa ketika lamanya. Seperti Murarah, dia juga telah menyertai beberapa peperangan yang terdahulu.Ternyata yang Hilal telah melakukan kesalahan mementingkan kaum keluarga nya daripada Allah s.w.t.. Setelah menyedari kesalahannya dia telah memutuskan perhubungan dengan kaum kerabatnya. 

Mengenai Ka'ab pula, dengarlah cerita seperti yang diceritakan olehnya sendiri. Cerita Ka'ab ini terkandung didalam semua buku-buku Hadis. Katanya:

"Semasa berlaku gerakan  keTabuk keadaan hidup aku agak mewah.Aku mempunyai dua ekor unta kepunyaan saya sendiri. Sebelum ini saya tidak pernah memiliki bilangan unta seperti tersebut tadi. Telah menjadi amalan  Nabi Muhammad s.a.w. yang ia tidak suka memberitahu kepada umum tentang tempat yang ditujui oleh gerakan tentera Muslimin, tetapi sekali ini oleh kerana jauhnya perjalanan yang mesti ditempuhi, kerana musim kemarau pada masa itu dan oleh kerana kekuatan tentara kafir, ia terpaksa menceritakan segala-galanya agar persiapan-persiapan dapat diperbuat dengan sempurnanya. Orang-orang yang bakal memnyertai pergerakan keTabuk terlalu banyak sehingga tidak mungkin diketahui nama-nama mereka semuanya. Demikian juga payahnya untuk mengetahui nama-nama meraka yang tidak menyertai Nabi Muhammad s.a.w.Pada ketika itu kebun-kebun diMadinah telah penuh dengan buah-buah yang telah masak.Tiap-tiap pagi saya bercita-cita hendak membuat persiapan-persiapan agar dapat menyertai tentera Muslimin, tetapi entah bagaimana keazaman saya itu tidak menjadi kenyataan. Saya ketahui benar-benar yang saya dapat menyertai mereka bila-bila masa sahaja. Dalam keadaan saya yang demikianlah maka berita mengenai keberangkatan tentera Muslim telah sampai kepengetahuan saya. Saya masih berpendapat yang saya mendahului mereka sekiranya saya dapat bersiap sedia dalam sehari-dua.Penangguhan saya untuk melakukan sesuatu yang tegas berlanjutan sehingga tibalah masanya tentera-tentera Muslimin hampir tiba diTabuk. Dalam keadaan yang demikian pun saya masih juga menangguh-nangguh.Tiba-tiba apabila saya melihat orang-orang yang tertinggal diMadinah saya menyedari yang kebanyakkan daripada mereka ini terdiri daripada kaum-kaum munafikin dan mereka yang telah sengaja diuzurkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. kerana sebab-sebab yang tertentu”. 

Setibanya Nabi Muhammad s.a.w. ke Tabuk, Baginda s.a.w. pun bertanya:

 'Mengapa aku tidak melihat Ka'ab?" 

Jawab salah seorang daripada para sahabat: 

" Ya Nabi Muhammad s.a.w., kebanggaannya kepada harta dan kesenangan kehidupannya telah menyebabkan dia tertinggal kebelakang.' 

Maaz mencelah sambil berkata:

"Tidak, Ini tidak mungkin. Setahu kami dia adalah seorang Mukmin yang sebenar-benarnya." 

Nabi Muhammad s.a.w. tidak mengeluarkan sepatah katapun."
Ka'ab meneruskan ceritanya:

"Selepas beberapa hari saya pun mendengar berita mengenai kepulangan  Nabi Muhammad s.a.w. saya tiba-tiba dirundungi oleh perasaan sedih dan kesal yang maha hebat. Beberapa alasan iaitu yang mungkin dikemukakan kepada Nabi Muhammad s.a.w. mengelakkan kemurkaan  Baginda s.a.w. terbayang-bayang dikepala saya. Saya juga telah meminta nasihat daripada orang-orang yang cerdik pandai dikalangan keluarga saya, tetapi akhirnya alasan-alasan ini saya ketepikan dan saya membuat keputusan hendak bercakap benar kepada Nabi Muhammad s.a.w. Telah menjadi kebiasaan Rasulullah s.a.w.., apabila Baginda s.a.w.balik dari suatu perjalanan Nabi Muhammad s.a.w. akan singgah dimasjid untuk mendirikan Solat Tahyatul Masjid serta beramah mesra dengan pelawat-pelawatnya. Pada ketika ini datanglah orang munafik bersumpah-sumpah sambil memberi sebab-sebab mengapa mereka tidak menyertai Nabi Muhammad s.a.w.  ke Tabuk. Nabi Muhammad s.a.w.menerima saja alasan-alasan yang diucapkan oelh lidah-lidah mereka sedangkan kandungan batin mereka tinggalkan kepada Allah s.w.t.untuk membereskannya. Kemudian saya pun tibalah untuk menemui Rasulullah s.a.w. lantas memberi salam kepada Baginda s.a.w.. Suatu senyuman yang tawar, Baginda s.a.w. menolehkan mukanya kearah lain. Saya berkata:" Wahai Rasulullah ,Tuan memalingkan muka Tuan dari saya. Demi Allah s.w.t., saya bukannya munafik dan saya tidak meragui kebenaran agama saya." Baginda s.a.w. menyuruh saya mendekati lalu bertanya: "Apa yang menghalangi kamu? Bukankah kamu telah membeli unta?" Saya menjawab: "Ya Rasulullah s.a.w., kalau kepada orang lain sudah tentu saya dapat memberi alasan-alasan yang sesuai kerana Allah s.w.t. telah mengurniakan saya dengan kefasihan bercakap, tetapi kepada Tuan, walaupun saya dapat memberi keterangan-keterangan dusta yang memuaskan hati Tuan, sudah tentu Allah s.w.t. akan memurkai saya. Sebaliknya kalau saya menimbulkan kemarahan Tuan dengan bercakap benar saya percaya lambat-laun kemarahan Tuan itu akan dihapuskan oleh Allah s.w.t. . Oleh itu saya bercakap benar. Demi Allah s.w.t. saya tidak ada sebarang alasan pun sedangkan pada masa itu hidup saya mewah." Kata Nabi Muhammad s.a.w."Dia sedang bercakap benar." Kemudian Baginda s.a.w berkata: "Pergilah kamu dan Allah s.w.t.. akan menentukan sesuatu bagi kamu."

Apabila saya meninggalkan Nabi Muhammad s.a.w.. orang-orang dari puak saya telah menyalahi saya kerana telah bercakap benar dihadapan Rasulullah. Kata mereka: Kamu sebelum ini tidak pernah melakukan sebarang kesalahan . Kalaulah setelah memberi satu-satu alasan yang sesuai, kamu meminta Nabi Muhammad s.a.w. berdoa untuk diampunkan oleh Allah s.w.t., yang demikian itu sudah tentu mencukupi. "Kemudian saya bertanya kalau-kalau ada orang yang hal keadaannya seperti saya. Mereka menceritakan mengenai Hilah bin Umayyah dan Murarah bin Rabi. 

Mereka juga telah mengakui kesalahan mereka dan menerima jawapan yang sama. Saya tahui yang mereka ini adalah penganut-penganut agama Islam  yang sejati dan telah mengambil bahagian dalam Peperangan Badar. Nabi Muhammad s.a.w. sudah memerintahkan supaya kami bertiga dipulaukan.Tidak ada seorang pun yang berani bergaul dan bercakap-cakap dengan kami. Pada masa itu saya berasa seolah-olah saya tinggal berdagang dirantau orang. Kawan-kawan berkelakuan seperti orang asing. Dunia yang begitu luas menjadi sempit. Kalau saya mati Nabi Muhammad s.a.w. tidak akan mengimami sembahyang jenazah saya. Sebaliknya kalau Baginda s.a.w. wafat sudah tentu  pemboikotan yang dikenakan keatas saya akan berterusan sehingga keakhir hayat saya. Kawan-kawan saya yang berdua itu tidak menampakkan diri mereka diluar rumah sedangkan saya memberanikan diri dengan berjalan-jalan dipasar dan bersembahyang berjemaah tetapi saya tidak dihiraukan oleh sesiapa pun

 Kadang-kadang saya memberanikan diri menghampiri  Nabi Muhammad s.a.w. sambil memberikan salam. Saya menunggu-nuggu jawapannya dengan penuh harapan.Kerapkali selepas menunaikan solat fardhu saya akan menunaikan solat sunnat berhampiran dengan Nabi Muhammad s.a.w. kerana ingin mengetahui sama ada Baginda s.a.w.  akan memandang saya atau tidak. Ya, Baginda s.a.w. memandangkan saya semasa berada dalam sembahyang. Diluar sembahyang Baginda s.a.w. memalingkan pandangannya dari saya."

"Pada suatu hari apabila saya rasa yang saya tidak dapat lagi menderitai pemulauan sosial yang dikenakan keatas saya, saya telah memanjat tembok kebun sepupu saya,Qatadah. Saya mengucapkan salam kepadanya tetapi dia tidak menjawab. Saya menggesanya supaya menjawab hanya satu soalan sahaja. Saya bertanya:"Engkau tahu atau tidak yang aku mencintai Allah s.w.t. dan RasulNya?" Soalan saya itu terpaksa diulangi sebanyak tiga kali. Pada kali yang ketiganya baharulah dia menjawab:" Hanya Allah s.w.t.dan RasulNya yang mengetahui." 

Mendengar jawapannya itu saya menangis lalu meninggalkannya."

"Pada suatu ketika sedang saya melalui sebatang jalan di Madinah, saya terpandang akan seorang Kristian bangsa Mesir yang telah datang dari Sham. Rupa-rupanya orang itu sedang mencari saya. Apabila orang ramai disitu menunjukkan saya dia pun menghampiri saya sambil menyerahkan sepucuk surat daripada Raja Kristian yang memerintah Ghassan. Surat itu berbunyi:

" Kami telah mengetahui akan penganiayaan yang kamu perolehi dari ketua kamu. Allah s.w.t. tidak akan membiarkan kamu dalam keadaan hina dan malu. Eloklah kamu menyertai kami dan kami akan memberi segala pertolongan kepada kamu." Apabila saya membaca surat ini saya mengucapkan:

"INNA LILLAHI WA INNA ILAIHI RAJIUN." 

Demikianlah hal keadaan saya sehingga orang-orang kafir menyangka yang saya akan murtad. Saya tidak dapat membayangkan segala kecelakaan yang menimpa diri saya. Dengan serta merta saya mencampakkan surat itu kedalam api dan saya pun terus pergi berjumpa dengan Nabi Muhammad s.a.w. Kata saya:"Ya Rasulullah s.a.w., saya telah tergelincir didalam jurang kehinaan yang amat dahsyat sehinggakan orang-orang kafir menyangka yang saya akan murtad."


"Selepas empat puluh hari pemboikotan itu berjalan seorang utusan  Nabi Muhammad s.a.w. mendatangi saya dengan membawa satu perintah baru dari  Nabi Muhammad s.a.w. Saya diperintahkan supaya berpisah dari isteri saya. Saya bertanya kepada utusan itu sama ada isteri saya terpaksa diceraikan. Dia hanya menmyuruh saya berpsah dari isteri saya. Perintah yang sama diberikan kepada sahabat-sahabat yg berdua itu. Kata saya kepada isteri saya:"Pergilah kamu tinggal bersama-sama orang tua mu sehingga Allah s.w.t. menetukan sesuatu bagiku." Isteri Hilal pun telah pergi berjumpa dengan Nabi Muhammad s.a.w. sambil mengadu kepada Baginda s.a.w :"Ya Rasulllah,Hilal sudah tua dan tidak ada orang untuk menjaganya. Kalau aku meninggalkannya sudah tentu dia akan mati. Izinkan aku supaya menjagainya."Nabi Muhammad s.a.w. menjawab: "Baiklah tetapi jangan melakukan perhubungan jenis." Kata isteri Hilal:"Ya Rasulullah ,dia sudah tidak ada keinginan semenjak pemulauan dikenakan keatasnya. Dia menghabiskan masanya dengan menangis."

Ada orang yang mecadangkan kepada saya supaya meminta kebenaran daripada Nabi Muhammad s.a.w. untuk membolehkan isteri saya tinggal bersama-sama saya tetapi saya enggan berbuat demikian kerana saya masih muda sedangkan Hilal sudah tua. Lagi pula saya tidak berani membuat permintaan yang demikian. Sehingga ini pemulauan telah dijalankan keatas kami selama lima puluh hari.

Pada pagi yang kelima puluh itu sedang saya duduk-duduk diatas bumbung rumah saya, setelah melakukan Solat Fajar, saya terdengar orang menjerit dari kemuncak bukit Salak. "Ada berita gembira buat kamu ya Ka'ab." Sebaik sahaja saya mendengar berita itu saya pun bersujud dengan gembiranya sambil mengucapkan syukur kepada Allah s.w.t.. Saya tahu yang saya telah perolehi keampunan daripada Allah s.w.t.

Sebenarnya Nabi Muhammad s.a.w. mengistiharkan keampunan Allah s.w.t. kepada kami bertiga selepas solat Subuh itu.Kemudian datang pula seorang penunggang kuda membawa berita yang sama. Oleh kerana kegembiraan yang amat sangat saya telah menghadiahkan pakaian yang terlekat dibadan saya kepada pembawa berita gembira itu.Pada masa itu saya hanyai miliki pakaian yang sedang saya pakai tadi. Oleh hal yang demikian saya meminjam sehelai pakaian dari sahabat saya dan memakai pakaian itu dan saya terus pergi berjumpa dengan Rasulullah s.a.w. Apabila saya tiba dimasjid orang-orang yang sedang berbual-buak dengan Rasulullah s.a.w. datang menerpa dan memegang tangan saya sambil mengucapkan tahniah. Orang yang mula-mula mengucapkan tahniah kepada saya ialah Talhah.

Kemudian saya pun menyampaikan salam kepada Nabi Muhammad s.a.w. . Muka Baginda s.a.w. berseri-seri dengan cahaya kegembiraan. Saya berkata kepada Baginda s.a.w. :"Ya Rasulullah, saya bercadang hendak mendermakan semua harta saya sebagai mengucapkan syukur kepada Allah s.w.t. yang telah sudi menerima taubat saya." Baginda s.a.w.. berkata: "Janganlah habiskan semua harta kamu. Tinggalkan sedikit untuk kepentingan dirimu." Saya pun mendermakan harta saya kecuali rampasan yang diperolehi dalam Peperangan Khaibar."

"Kebenaran telah menyelamatkan saya dan oleh itu saya berazam hendak bercakap benar pada setiap masa."

Kisah diatas dengan jelas menunjukkan sifat-sifat yang sepatutnya terdapat pada semua penganut-penganut Islam yang bernar-benar beriman.

1) Pentingnya berusaha dijalan Allah s.w.t. Orang yang selama ini telah mematuhi segala perintah Allah s.w.t. dan yang telah menyertai semua peperangan menetang musuh pun terpaksa menanggung penderitaan akibat kesalahan yang dilakukan hanya sekali sahaja.

2) Kepatuhan menjunjung perintah Nabi Muhammad s.a.w. Selama lima puluh hari masyarakat Islam termasuk kaum kerabat dan sanak saudara serta sabahat handai mereka sendiri telah memulau Ka'ab dan kawan-kawannya pula telah menjalani hukuman dengan penuh ketaatan. Dengan lain-lain perkataan, yang memulau pada suatu pihak dan yang kena pulau disuatu pihak yang lain masing-masing mematuhi arahan Nabi Muhammad s.a.w.

3) Keimanan yang teguh Ka'ab telah menerima surat dari seorang raj Kristian yang cuba mempengaruhinya supaya melakukan kemungkaran. Perkataan-perkataan dan perbuatannya selepas menerima surat itu merupakan bukti yang nyata mengenai keteguhan imannya.

Sekarang marilah kita memeriksa perbadi kita sendiri untuk menentukan banyak atau sedikitnya kepatuhan yang terdapat pada diri kita. Adakah kita mematuhi segala perintah-perintah Allah s.w.t.? Adakah kita mendirikan sembahyang- Perintah Allah s.w.t. yang paling sedikit memakan belanja? Adakah kita berasa sedih apabila meninggalkannya?

Gerakan Tentera Muslimin Ke Tabuk

 Sampai pula berita kepada Nabi Muhammad s.a.w. bahawa tentera Rumawi sedang berkumpul hendak datang menyerang. Tanpa membuang masa Nabi Muhammad s.a.w. telah mengerahkan kaum Muslimin untuk menyiapkan segala alat kelengkapan berperang. Kebetulan pada masa itu orang sedang menghadapi musim kemarau yang dahsyat. Oleh kerana tentera musuh yang bakal dihadapi itu besar dan kemungkinan mengalami berjenis-jenis kesukaran itu banyak. Orang-orang mewah dan agak berada serta senang hidupnya, Nabi Muhammad s.a.w.. galakkan menghulurkan pertolongan membekalkan mereka yang susah


Pada masa itu Abu Bakat r.a.hu telah mendermakan segala hartanya. Apabila ditanya apa yang tinggal kepada keluarganya, ia menjawab:


"Aku tinggalkan Allah s.w.t. dan RasulNya kepada mereka."


Umar r.a.hu telah mendermakan separuh dari harta kekayaannya sedangkan Usman r.a.hu telah membekalkan alat kelengkapan perperangan untuk sepertiga daripada semua tentera Muslimin. Tiap-tiap sepuluh orang askar dibekalkan dengan seekor unta sahaja disebabkan kekurangan binatang ini. Oleh sebab inilah maka gerakan ketenteraan ini dinamakan "KEMPEN KEPICIKAN".


Tentera-tentera Muslimin terpaksa berjalan jauh dalam cuaca panas terik membakar ketempat yang ditujui. Kebetulan pada masa itu kebun-kebun mereka penuh dengan buah-buah tamar yang telah masak. Ini merupakan ujian Allah s.w.t. terhadap mereka. Tiba-tiba mereka diseru untuk menghadapi musuh yang paling gagah sebagai menguji keimanan mereka. Natijah keimanan mereka yang teguh inilah maka mereka tidak ingin ditinggalkan diMadinah kecuali kaum wanita, kanak-kanak, orang-orang munafik dan mereka yang tidak ada kenderaan. Ada diantara mereka yang menangis-nangis kerana tidak dapat menyertai Nabi Muhammad s.a.w. dan tentera-tentera Muslimin yang lain. Mengenai orang-orang ini Allah s.w.t. telah berfirman yang bermaksud:


“Mereka berpaling sedang mata mereka mengalir airmata kerana sedih yang mereka tidak ada kemampuan yang boleh mereka belanjakan”


 Diantara mereka-mereka yang beriman hanya tiga orang sahaja yang tidak menyertai tentera Muslimin tanpa sebarang alasan.(Kisah mereka akan dibentangkan selepas ini).
Sementara itu dalam perjalan para tentera Muslimin ke Tabuk, tentera Muslimin telah sampai ke perkampungan Thamud. Disini Nabi Muhammad s.a.w. telah menutupi wajahnya sambil mempercepatkan perjalanannya. Nabi Muhammad s.a.w. memerintahkan supaya para sahabatnya berbuat demikian juga. Nabi Muhammad s.a.w. menasihatikan mereka supaya menangis dan takutkan penyiksaan Allah s.w.t. agar  Allah s.w.t. tidak mengenakan siksaan keatas mereka seperti mana yang dikenakan keatas Thamud.
Lihatlah sikap yang dipertunjukkan oleh  Nabi Muhammad s.a.w. dan para sahabatnya ketika melalui perkampungan Thamud yang telah dibinasakan oleh Allah s.w.t. Beginilah pula sikap yang seharusnya dimiliki oleh kita, tetapi kebanyakkan kita tidak merasa sedih atau takut apabila menghadapi sesuatu malapetaka atau bencana alam. Sebaliknya kita mengadakan pesta keramaian ditempat berlakunya sesuatu kecelakaan itu

Teguran Abdullah Bin Abbas

 Diceritakan oleh Wahab bin Munabbah:

"Abdullah bin Abbas telah kehilangan penglihatannya semasa ia telah tua. Pada suatu hari aku telah memimpininya ke Masjidil Haram. 

Disana ia telah menedengar beberapa orang sedang bertengkar dengan suara yang lantang. Dia meminta supaya aku membawanya kehadapan mereka. Dia pun memberi salam kepada mereka, selepas membalas salamnya mereka mempersilakan ia duduk sambil melahirkan keengganannya berbuat demiakian, dia pun berkata:

"Izinkan aku menceritakan darihal hamba-hamba Allah s.w.t. yang sebenar-benarnya. Mereka adalah manusia yang tidak ingin berkata-kata kerana takutkan Allah s.w.t... Sungguhpun mereka tidak bisu dan sebaliknya dapat menggunakan bahasa dengan fasihnya tetapi oleh kerana selalu memuji-muji Allah s.w.t.. maka mereka tidak dapat memperkatakan sesuatu yang sia-sia. Apabila mereka tiba keperingkat keimanan yang demikian rupa maka mereka segera kearah kebaikan. Mengapakah kamu sekelian telah menyeleweng dari jalan ini?”

Selepas peristiwa ini aku tidak melihat manusia berkumpul di  Masjidil Haram."

Kisah Abdullah bin Abbas ini menunjukkan kepada kita suatu jalan yang sebaik-baiknya untuk mencapai kebaikan. Caranya ialah dengan memikirkan tentang kebesaran Allah s.w.t. Kalau ini dapat dilakukan maka lain-lain perbuatan yang baik dapat dilakukan juga dengan senang dan penuh kejujuran.

Contoh Taqwa Umar Al- Khatab RA

Umar r.a.hu kerap memegang sehelai jerami sambil berkata:


"Alangkah baiknya kalau aku dapat menjadi jerami seperti ini."


Kadang-kala dia berkata:


"Alangkah baiknya kalau aku tidak dilahirkan oleh ibuku!"


Pada suatu ketika Umar sedang sibuk dengan urusan yang penting. Tiba-tiba datang satu hamba Allah dengan satu pengaduan yang berkehendakkan pembetulan. Oleh Umar dicemetinya orang itu dibahagian bahunya. Umar berkata: "Bila aku duduk hendak menerima pengaduan engkau tidak datang tetapi bila aku sibuk dengan urusan pent ing engkau datang menggangui aku."


Tanpa berkata apa-apa orang itu pun meninggalkan Umar. Sejurus kemudian ia dibawa kehadapan Umar sekali lagi. Sambil mengunjukkan cemeti tadi padanya Umar berkata: 


"Pukullah aku sebagai membalas perbuatan tadi."


Kata orang itu: "Saya mengampuni awak kerana Allah s.w.t."


Kekesalan Umar tidak dapat dibayangkan. Dengan cepat dia kembali kerumahnya lalu mendirikan sembahyang sebanyak dua rakaat. Dia mengkritik dirinya sendiri seperti berikut:


"Wahai Umar, dahulu kedudukanmu rendah tetapi kini telah ditinggikan oleh Allah s.w.t.. Dahulu kamu sesat tetapi kini telah dipimpin oleh Allah s.w.t. dan Dia telah memberi kamu kuasa keatas hamba-hambaNya. Apabila salah seorang daripada mereka datang untuk mendapat keadilan ia dipukul dan disakiti. Apakah alasan yang hendak kamu berikan dihadapan Allah s.w.t.?"


Soalan ini dihadapkan kepada dirinya bukan sekali malah beberapa kali.


Pada suatu malam Umar sedang meronda disuatu tempat dipersekitaran kota Madinah dengan hambanya Aslam. Tiba-tiba kelihatan cahaya api tidak jauh dari tempat mereka berada. Dia berkata:
Khemah Di Padang Pasir
"Nun ditengah-tengah padang pasir nampaknya ada khemah, mungkin kepunyaan suatu khalifah yang tidak dapat memasuki kota kerana kegelapan malam. Mari kita uruskan perlindungan mereka."


Setibanya mereka ditempat perkhemahan itu, yang kelihatan hanyalah seorang perempuan dengan beberapa orang anaknya. Si ibu tadi sedang menjerang secerek air, sambil memberi salam dia meminta izin untuk mendekatinya.


Umar: "Mengapa kanak-kanak ini menangis"


Perempuan: Kerana mereka lapar"


Umar: "Apa yang ada didalam cerek itu?"


Perempuan: "Hanya air untuk memperdayakan mereka supaya mereka tidur dengan sangkaan yang makanan sedang disediakan untuk mereka. Ah, Allah s.w.t. akan mengadili pengaduanku terhadap Umar pada hari kiamat nanti kerana membiarkan aku didalam keadaan begini."


Umar:(Menangis)"Semoga Allah s.w.t. mengampuni kamu tetapi bagaimanakah Umar hendak mengetahui tentang penderitaan kamu!"


Perempuan:"Orang yang menjadi Amir patut tahu akan keadaan setiap rakyatnya."


Umar balik kekota dan terus ke Baitulmal. Dia mengisikan sebuah karung dengan tepung, buah tamar, minyak dan kain baju. Dia mengeluarkan juga sedikit wang. Apabila karung tadi telah penuh Umar pun berkata kepada Aslam: "Letakkan karung ini keatas belakangku Aslam"


Aslam: "Tidak, tidak, ya Amirul Mu'minin! Biar saya yang memikulnya"


Umar: "Apa! Adakah engkau yang akan memikuli dosaku dihari kiamat kelak? Aku terpaksa memikulinya kerana akulah yang akan dipersoalkan nanti mengenai perempuan ini"


Dengan perasaan serba salah Aslam meletakkan karung itu diatas belakang Umar. Dengan diikuti oleh Aslam dia telah berjalan dengan pantas menuju khemah perempuan itu. Dia memasukkan sedikit tepung, buah tamar dan minyak kedalam cerek tadi lalu mengacaunya. Dia sendiri meniup bara untuk menyalakan api. Kata Aslam:


"Saya melihat asap mengenai janggutnya"


Sebentar kemudian makanan itu pun siaplah. Umar sendiri menghidangkan kepada keluarga miskin itu. Selepas kenyang perut kanak-kanak itu, mereka pun bermainlah dengan gembiranya. Melihat keadaan anak-anaknya, perempuan itu pun berkata:


"Semoga Allah s.w.t. memberi ganjaran kepada kamu kerana kebaikan hatimu. Sesungguhnya kamu lebih layak memegang jawatan khalifah daripada Umar."


Umar melipurkan hati perempuan itu lalu berkata:


" Apabila kamu datang berjumpa dengan  khalifah, kamu akan menjumpai aku disana."


Setelah melihat kanak-kanak itu bermain beberapa ketika, Umar pun beredar dari situ. Dalam perjalanan pulang Umar telah bertanya kepada Aslam:


"Kamu tahu tak mengapa aku duduk disitu beberapa ketika?"Aku ingin melihat mereka bermain-main dan gelak ketawa kerana kesukaan setelah melihat mereka menangis kelaparan."


Mengikut riwayat ketika mengerjakan solat fajar Umar sering membaca SURAH "KAHF, TAHA" dan lain-lain surah yang hampir-hampir sama dengan surah-surah itu. Waktu inilah dia kerap menangis sehingga tangisannya jelas kedengaran beberpa saf kebelakang. Pada suatu subuh ketika membaca ayat SURAH "YUSUF" yang berbunyi:




 Hanya aku mengadukan kesusahanku dan kedukacitaanku kepada Allah. 
(SURAH YUSUF-86)


Dia telah menangis teresak-esak sehingga tidak dapat meneruskan pembacaannya.


Wahai kaum muslimin, kisah-kisah Umar yang baru saja diceritakan sepatutnya dijadikan bahan rujukan oleh kita bersama. Umar diketahui umum merupakan kesatriaan Islam yang terkenal kerana gagah beraninya. Namanya saja sudah dapat mengecutkan perut pemusuh-pemusuh Islam. Namun demikian dihadapan Allah s.w.t. dia menangis ketakutan. Dimanakah seorang Raja atau Pemimpin negara yang bersedia menunjukkan belas rahimnya kepada seorang hamba rakyatnya yang hina seperti mana yang telah ditunjukkan oleh Umar? Demikianlah kesucian, kemurnian dan ketinggian sopan santun yang dikehendaki oleh Islam, Agama yang kita semua akui sebagai penganut-penganutnya.