Abu Dzar Ghifari merupakan sahabat Rasulullah yang terkenal dengan perbendaharaan ilmu pengetahuan dan kesolehannya. Kata Ali R.A,
"Abu Dzar ialah penyimpan jenis-jenis ilmu pengetahuan yang tak dapat diperolehi oleh orang lain".
Apabila beliau mula mendengar berita tentang kerasulan Nabi, beliau telah menghantar saudara laki-lakinya yang mendakwa menerima berita dari langit. Setelah berpuas hati menyiasat, saudaranya pun melapurkan kepada Abu Dzar yang Muhammad itu bersopan santun dan baik budi pekertinya. Ayat-ayat yang dibacakan kepada manusia bukan puisi dan bukan kata-kata penyair. Lapuran yang disampaikan itu masih belum memuaskan hati Abu Dzar. Beliau sendiri keluar untuk mencari kebenarannya.
Setibanya di Mekah, beliau terus ke Baitul Haram. Pada masa beliau tidak kenal Nabi S.A.W. Memandangkan keadaan masa itu, beliau berasa takut hendak bertanya perihal Nabi. Apabila menjelang malam, dia dilihat oleh Ali R.A. Oleh kerana dia seorang musafir, Ali membawa Abu Dzar kerumahnya dan melayani sebaik-baiknya sebagai tetamu. Ali tidak bertanya sesuatu apa tentang maksud kedatangannya ke Mekah. Pada keesokkan harinya Abu Dzar bagi pihak dirinya pun tidak memberitahu Ali tentang maksud kedatangannya itu. Pada keesokkannya Abu Dzar sekali lagi ke Baitul Haram untuk mengetahui siapa Muhammad. Sekali lagi Abu Dzar gagal menemui Nabi kerana pada masa itu orang-orang kafir musyrikin sedang hebat mengganggu orang Islam. Pada malam ke dua dan ketiga juga juga Ali membawa Abu Dzar ke rumahnya. Pada malam ke dua Ali tidak bertanya kepada Abu Dzar. Tetapi pada malam ketiganya, Ali pun bertanya,
"Saudara, apakah sebabnya saudara datang ke Kota ini?"
Sebelum menjawab, Abu Dzar meminta Ali berjanji supaya berkata benar. Kemudian ia pun bertanya tentang Nabi S.A.W.
Ali berkata sebagai menjawab soalan Abu Dzar,
"Dia sesungguhnya Pesuruh Allah. Esok engkau ikut saja aku dan aku akan membawa kamu menjumpainya. Tetapi awas, bencana yang buruk akan menimpa kamu kalau perhubungan kita diketahui orang. Semasa berjalan esok, kalau aku dapati bahaya mengancam kita, aku akan berpisah agak jauh sedikit dari kamu dan berpura-pura membetulkan kasutkug tetapi engkau terus berjalan supaya orang tidak mengsyaki perhubungan kita."
Pada esoknya itu Ali pun membawa Abu Dzar bertemu dengan Nabi. Tanpa banyak soal jawab, beliau memeluk Agama Islam. Kerana takut kalau diapa-apakan oleh musuh Islam, Nabi pun menasihatinya supaya lekas balik dan jangan mengistiharkan keislamanya dikhalayak ramai. Tetapi Abu Dzar dengan beraninya menjawab,
"Ya Rasulullah! Aku bersumpah dengan Allah yang jiwaku di dalam tanganNya bahawa aku akan mengucap Kalimah Syahadah di hadapan kafir-kafir musyirikin itu"
Janjinya kepada Nabi ditepati. Selepas beliau meninggalkan Baginda S.A.W, beliau melangkah ke Baitul Haram dimana dihadapannya kaum musyrikin dan dengan suara yang lantang beliau telah mengucapkan,
"Aku menyaksikan yang tiada Tuhan melainkan Allah dan aku menyaksikan Muhammad itu Pesuruh Allah"
Apabila didengar kata-kata Abu Dzar itu, orang-orang kafir menyerbu dan memukulnya. Kalau tiada Abbas (bapa saudara Nabi yang ketika itu belum memeluk Islam), Abu Dzar sudah tentu menemui ajalnya.
Kata Abbas kepada kafir-kafir musyrikin yang menyerang Abu Dzar;
"Tahukah kamu siapa orang ini? Dia ialah dari puak Ghifar. Khafilah-khafilah kita yang berulang-alik ke Syam terpaksa melalui perkampungan mereka. Kalaulah dia dibunuh, mereka sudah tentu menghalang perniagaan kita ke Syam."
Pada hari yang berikutnya, Abu Dzar sekali lagi mengucap dua Kalimah Syahadah dihadapan kafir-kafir Quraisy dan pada ketika itu juga beliau diselamatkan oleh Abbas.
Keghairahan Abu Dzar mengucapkan Kalimah Syahadah dikhalayak sungguh luar biasa kalau dikaji dalam kontek larangan Nabi kepadanya. Adakah beliau mengengkari Nabi? Jawabnya, Tidak. Beliau tahu Nabi sedang menderita dengan gangguan menghalang usaha dakwah Nabi. Beliau hanya hendak mencotohi Nabi walaupun mengetahui dengan berbuat demikian akan mendedahkan kepada bahaya. Semangat keislaman yang beginilah yang telah membolehkan para Sahabat mencapai kemuncak kejayaan dalam alam dziriah dan batiniah. Keberanian Abu Dzar ini sudah selayaknya dicontohi oleh umat Islam dewasa ini dalam usaha mereka menjalankan Dakwah Islamiah. Kekejaman, penganiayaan serta penindasan tidak semestinya melemahkan semangat mereka yang telah mengucapkan Dua Kalimah Syahadah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan