Jumaat, 10 Jun 2011

Perjalanan Rasulullah S.A.W ke Taif.

Selama sembilan tahun selepas menerima wahyu, Rasulullah telah menjalankan dakwah dikalangan kaumnya sendiri di Kota Mekah. Hanya segelintir sahaja yang memeluk agama Islam ataupun yang bersimpati. Yang lainnya sedaya upaya mengganggu atau menghalang baginda dan pengikutnya. Diantara yang bersimpati adalah termasuk Abu Talib meskipun ia tidak memeluk Islam.
Berikutan kematian Abu Talib, pihak Quraisy meningkatkan gangguan dan penentangan. Di Taif, terdapat Bani Thaqif yang sangat kuat dan ramai bilangan ahlinya. Rasulullah S.A.W pergi Taif dengan harapan dapat mempengaruhi Bani Thaqif menerima Islam sekaligus memperolehi tempat perlindungan bagi pemeluk Islam lain dari gangguan Quraisy. Bagind bercita-cita menjadikan Taif sebagai markas kegiatan dakwah. Sebaik sahaja tiba di Taif, baginda mengunjungi 3 pemimpin Bani Thaqif secara berasingan bagi menyampaikan risalah Tuhan. Mereka bukan sahaja enggan mendengar apa yang dikemukakan oleh Rasulullah S.A.W malahan melayani dengan cara kasar dan biadap. Sikap yang bertentangan dengan semangat memuliakan dan menghormati tetamu yang menjadi cara hidup bangsa Arab. Dengan terus terang mereka mengatakan yang mengatakan mereka tidak suka baginda tinggal di tempat mereka. Kata seorang dari pemimpin puak itu:


"Hoi! Benarkah yang Allah melantik kamu menjadi pesuruhNya?"


Kata seorang lagi sambil ketawa:


"Tidak bolehkah Allah memilih manusia selain dari engkau untuk menjadi pesuruhNya?"


Yang ketiga pula melemparkan kata-kata menghina yang berbunyi:


"Kalau engkau benar-benar seorang Nabi, aku tidak ingin bercakap-cakap dengan engkau kerana perbuan yang demikian akan mendatangkan bencana bagiku. Sebaliknya jika engkau seorang pendusta, tidak guna aku bercakap-cakap dengan engkau"


Dalam menghadapi penentangan yang hebat, dengan ketabahan dan kecekalan hati tidak menyebabkan baginda berasa hampa dan gagal. Selepas meninggalkan pemimpin Bani Thaqif, baginda cuba menghampiri rakyat biasa. Mereka menyuruh baginda keluar dari Taif. Apabila baginda menyedari yang usaha tidak membuahkan hasil, baginda membuat keputusan meninggalkan Kota Taif. Tetapi mereka tidak membiarkan baginda keluar secara aman. Mereka melepaskan "kacang-kacang hantu" mereka supaya mengusik, mengejek, mengacau dan membaling batu. Perbuatan itu menyebabkan badan Rasulullah S.A.W luka-luka berdarah. Apabila agak jauh meninggalkan Kota Taif, baginda berdoa:


"Wahai Tuhanku, kepada engkau aku adukan kelemahan tenagaku dan kekurangan daya upayaku pada pandangan manusia. Wahai Tuhan yang Maha Rahim, kepada siapa Engkau menyerahkan daku? Kepada musuh yang akan menerkamkan aku ataupun kepada keluarga yang Engkau berikan kepadanya urusanku, tidak ada keberatan bagiku asal saja aku tetap dalam keredaanMu. Dalam pada itu 'afiatMu lebih luas bagiku. Aku berlindung dengan cahayaMu yang mulia, yang mengatur segala urusan dunia dan akhirat. Dari Engkau menimpakan atasku kemarahanMu atau dari Engkau turun atasku azabMu. Kepada Engkaulah aku adukan halku sehingga engkau redha. Tidak ada daya dan upaya melaikan dengan Engkau"


Demikian sedihnya doa yang dihadapkan kepada Allah oleh Rasulullah S.A.W sehingga Jibrail diutuskan menemui baginda. Setibanya dihadapan Rasulullah, Jibrail memberi salam dan berkata:


"Allah mengetahui apa yang telah berlaku di antara kamu dan orang-orang ini. Dia telah menyediakan malaikat di gunung ganang di sini khas untuk menjalankan sebarang perintah kamu".


Sambil berkata demikian Jibrail menghadapkan malaikat itu pada penglihatan Rasulullah.


Kata malaikat itu:


"Wahai Rasulullah, aku bersiap sedia untuk menjalankan perintah tuan. Kalau dikehendaki, aku sanggup menyebabkan gunung ganang di sebelah menyebelah kota ini belanggaran sehingga penduduk dikedua-dua belah mati tertindih. Kalau tidak, tuan cadangkan apa saja hukuman yang selayaknya diterima oleh orang-orang ini"


Mendengar janji-janji malaikat itu, Rasulullah S.A.W yang penuh sifat rahim dan balas kasihan pun berkata:


"Walaupun orang-orang ini tidak menerima Islam, aku harap dengan kehendak Allah, yang anak-anak mereka pada suatu masa nanti akan menyembah Allah dan berbakti kepadaNya."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan