Anas bin Nadhr ialah salah seorang daripada sahabat-sahabat Nabi yang tidak mengambil bahagian dalam peperangan badar. Dia berasa kesal kerana tidak menyertai peperangan itu. Oleh itu, dia sentiasa menanti peperangan bagi menebus apa yang dianggap kerugian baginya. Kesempatan yang dinantikan itu tiba apabila berlakunya perang Uhud. Anas dengan serta merta menyertai tentera Muslimin dengan semangat kejihadan yang tinggi dan tulin. Walaupun tentera musuh yang dihadapi berkali ganda jumlahnya, tentera Muslimin dapat mengatasi pihak musuh. Tiba-tiba berlaku satu kesilapan.
Rasulullah S.A.W telah menghantar pasukan pemanah yang terdiri dari 50 orang untuk mengawasi tentera berkuda musuh yang mungkin menyerang dari belakang. Mereka diperintahkan supaya menetap di atas bukit dibelakang tentera Muslimin, selagi mereka tidak menerima arahan dari Rasulullah supaya berundur. Tetapi mereka mengengkari arahan Rasulullah. Apabila pasukan pemanah ini melihat tentera musyrikin lari lintang pukang diburu tentera-tentera Muslimin, mereka menyangka yang kemenangan telah tercapai lantas meninggalkan tempat strategik itu dan turun berkejaran mendapatkan harta rampasan. Yang tinggal diatas bukit itu hanya ketua mereka dan beberapa orang yang masih taat. Apabila dilihat oleh pemimpin tentera musyrikin yang bukit itu telah terdedah, dia pun mengarahkan pasukannya menyerbu dan membunuh saki baki tentera pemanah Muslimin yang masih berada di atas bukit itu serta melancarkan serangan balas dari belakang ketika mereka sedang asyik mengumpulkan harta rampasan. Dalam keadaan kelam kabut inilah Anas bin Nadhr terpandang Saad bin Maaz yang sedang melintas di hadapannya. Dia memekik mengatakan:
"Ya Saad! Ke mana engkau? Demi Allah! Aku mencium bau syurga yang datangnya dari Jabal Uhud."
Dengan berkata demikian, dia menerkami musuh lalu menentang mereka habis-habisan sehingga ia gugur syahid di medan peperangan. Apabila badannya yang berlumuran darah itu diperiksa terdapat lebih kurang 80 liang luka semuanya. Tiada siapa yang mengenalinya melainkan saudara perempuannya sahaja.
Orang yang berjihad dijalan Allah dengan penuh keikhlasan dan kejujuran akan mengecap nikmat syurga di dunia dan akhirat seperti Anas bin Nadhr.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan