Isnin, 13 Jun 2011

Bilal bin Rabah dan Penderitaannya.

Bilah bin Rabah R.A adalah seorang daripada sahabat-sahabat yang paling terkenal. Dia menjadi muazzin atau juru azan di Masjid Nabi. Dia merupakan seorang hamba Habshi yang dimiliki oleh seorang kafir Mekah. Pengislamannya telah menimbulkan kemarahan yang tidak keruan dalam hati pemiliknya. Dia pun diazablah tanpa perikemanusiaan. Umayyah bin Khalaf, pemusuh Islam yang terkemuka yang memiliki Bilal akan membaringkannya atas pasir yang panas membakar serta meletakkan batu besar di atas dadanya sehingga ia tidak dapat mengerakkan tulang lapan keratnya. Kemudian berkatalah Umayyah kepada Bilal:


"Tinggalkanlah agamamu. Kalau tidak matilah kamu dalam kepanasan matahari yang terik"


Bilal menjawab dengan berkata:


"Ahad (Tuhan Yang Esa).. "Ahad (Tuhan Yang Esa)..


Pada waktu malam ia didera dengan cemeti sehingga badannya luka. Pada waktu siang pula, dia dibaringkan di atas pasir yang panas. Tuannya berharap yang ia akan meninggalkan agamanya atau mati akibat luka-luka dibadannya. Namun demikian, Bilal masih tetap dengan pendiriannya yang teguh. Umayyah, Abu Jahal dan pengikut mereka menyiksa Bilal secara berganti-ganti. Akhirnya Abu Bakar R.A telah menebuskannya dan dari sejak itu hiduplah dia sebagai seorang Muslim yang bebas. Semenjak ia dibebaskan, dia sentiasa berdampingan dengan Rasulullah S.A.W sehingga bagind wafat. Selepas kewafatan Baginda S.A.W, Bilal pun meninggalkan Kota Madinah.


Pada suatu ketika, beliau telah melihat Rasulullah dalam mimpinya, berkatalah Rasulullah kepada Bilal:


"Wahai Bilal, mengapakah kamu tidak pernah melawatiku?"


Sebaik saja beliau bangun dari tidurnya, beliau bersiap-siap bertolak ke Madinah. Setiba sahaja di Madinah, beliau berjumpa dengan cucunda Rasulullah S.A.W, Hassan dan Husin. Mereka meminta beliau melaungkan azan. Apabila suara laungan azan berkumandang di ruang angkasa Kota Madinah, penduduknya pun tanpa segan silu menghamburkan air mata mereka kerana teringatkan zaman keemasan yang telah mereka lalui semasa hidupnya kekasih mereka, Muhammad S.A.W. Sekali lagi Bilal telah meninggalkan kota Madinah dan akhirnya meninggal dunia di Damsyik pada tahun ke dua puluh Hijrah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan